◄ Allah Sentiasa Disisi Kita ►

Seni Pencungkil Gigi



WAJAHNYA menggambarkan ketekunan dan tumpuan ketika dia menyiapkan kuil Angkor Wat.

Dan tumpuan adalah sesuatu yang sentiasa ada pada Stan Munro selepas menghabiskan masa enam tahun membina model mercu tanda terkenal dunia dengan menggunakan enam juta lidi pencungkil gigi.

Bekas penyampai televisyen itu juga menggunakan lebih 170 liter glu ketika bekerja sepenuh masa membina model bangunan seperti Big Ben, Jambatan Menara dan Vatican.

Dia juga sudah menyiapkan Opera House Sydney, Taj Mahal dan Cutty Sark dengan skala 1:164.

Munro, 38, yang sudah berkeluarga mengambil masa dari sehari hingga enam bulan untuk membina setiap bangunan berkenaan.

Namun sebahagian besar masanya dihabiskan untuk menjalankan kajian.

Dia memuat turun sebanyak mungkin lukisan teknik dan imej satelit dari Internet untuk menjalankan penyelidikan dan membina bangunan terbabit.

Kebanyakan bangunannya lompang dengan hanya beberapa sokongan struktur yang juga dihasilkan daripada lidi pencungkil gigi yang dibelinya terus daripada pemborong.

Model besar dibuat secara berasingan supaya mudah diangkat dan dialihkan.

Munro membina modelnya di Muzium Sains dan Teknologi di Syracuse, New York, Amerika Syarikat.

Pameran terbarunya, Bandar Pencungkil Gigi II - Kuil dan Menara, memperlihatkan lebih 40 bangunan berkait dengan agama dan bangunan tinggi di seluruh dunia. Dia mula membinanya sejak empat tahun lalu dan dijangka siap Disember ini.

Munro membina struktur daripada pencungkil gigi sejak zaman sekolahnya apabila diminta membina struktur setinggi enam inci yang boleh membolehkan telur diletak di atasnya.

Struktur dihasilkannya sangat kukuh. Bukan setakat telur, malah mejanya juga boleh diletakkan di atasnya.

Munro mula mendapat ilham untuk menggabungkan kegemarannya mengumpul pencungkil gigi dengan minatnya terhadap bidang seni bina ketika menganggur tiga bulan pada 2003.

Bandar Pencungkil Gigi pertamanya — Sejarah Pencakar Langit — dijual kepada sebuah muzium di Mallorca, Sepanyol. Dia mengambil masa dua tahun untuk membina 50 bangunan untuk pameran itu.

Munro berkata: “Saya sungguh seronok menghasilkan Bandar Pencungkil Gigi pertama hingga terdorong untuk menghasilkan satu lagi yang lebih besar dan terperinci.

“Saya mahu pameran kali ini menggambarkan kepelbagaian agama, pencapaian dalam seni bina dan ketepatan sejarah. Atau paling tidak, ia boleh menjadi satu pameran untuk menunjukkan minat saya mengumpul pencungkil gigi.

“Belum ada orang membina bangunan ini menurut skala yang sama dan meletakkannya sebelah-menyebelah. Lebih-lebih lagi struktur itu dibuat daripada pencungkil gigi.

“Saya berharap sangat untuk melihat bagaimana rupanya. Jika anda tidak boleh menjelajah seluruh dunia, saya mahu anda datang melihat pameran ini dan menganggap anda sudah mengelilingi seluruh dunia.