◄ Allah Sentiasa Disisi Kita ►

FreeButtonsFreeButtonsFreeButtons

F1 Malaysia di Sepang


REPLIKA kereta pasukan 1Malaysia yang diperkenalkan pada sidang media kelmarin.


PASUKAN Formula Satu (F1) 1Malaysia bakal mempunyai sebuah ibu pejabat di kawasan seluas antara 8,000 dan 12,000 hektar di kawasan berhampiran dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata, ibu pejabat pasukan F1 1Malaysia di litar itu akan menempatkan pelbagai kemudahan.

Ia termasuklah kemudahan paling penting untuk sesebuah pasukan F1 iaitu terowong angin untuk menguji aerodinamik kereta F1 buatan Malaysia yang akan digunakan oleh pasukan itu.

Beliau memberitahu, ibu pejabat itu akan mempunyai kemudahan termasuk untuk pembangunan dan penyelidikan, pembuatan, pusat teknikal dan jabatan-jabatan lain dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi selepas kerja awal pembinaannya bermula pertengahan tahun depan.

“SIC sudah memilih lokasi yang sesuai untuk menjadi ibu pejabat pasukan F1 1Malaysia iaitu kawasan letak kereta sebelum terowong memasuki bangunan podium di Litar Sepang.

“Tetapi ini semua baru di peringkat permulaan. Semua pihak yang terlibat akan berbincang selepas hari raya nanti dan akan menghantar apa jua perancangan kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk kelulusan,” katanya.

Ahmad Razlan berkata, beliau tidak mengetahui kos sebenar untuk membina ibu pejabat pasukan itu kerana ia masih di peringkat awal.

Bagaimanapun, beliau mengakui kos untuk pembinaannya akan membabitkan jutaan ringgit.

“SIC akan hanya membina kemudahan infrastruktur fizikal tetapi daripada segi peralatan dan perisian projek itu akan ditentukan oleh pihak lain,” katanya.

Ahmad Razlan berkata, kerjasama antara SIC dan AirAsia sudah bermula beberapa bulan yang lepas apabila Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes memberitahu beliau mengenai impiannya untuk membentuk satu pasukan F1 yang dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sendiri.

“Bagi SIC, idea penubuhan pasukan F1 1Malaysia itu bukan sahaja akan menaikkan nama syarikat yang terlibat ke tahap yang lebih tinggi dalam industri sukan pemotoran tetapi juga merealisasikan penglibatan langsung Malaysia dalam sukan F1.

“Ini menjadi satu lembaran baru buat SIC selain menjadi penganjur perlumbaan F1 Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada jentera buatan Malaysia itu akan berada di grid perlumbaan sebaik kalendar F1 bermula di Australia pada Mac tahun depan, beliau berkata: “Jentera F1 1Malaysia akan berada di negara ini sebelum ke Australia untuk ujian di Litar Sepang.”

Ahmad Razlan berkata, beliau menerima banyak panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang bertanyakan sama ada jentera F1 1Malaysia sudah bersedia untuk perlumbaan kerana hanya tinggal kurang dari lima bulan sebelum perlumbaan pertama kalendar F1 2010 di Australia.

“Kita tidak membuat kereta itu daripada lakaran awal, kita mempunyai teknologi Lotus untuk enjin dan dalam tempoh tiga bulan, kereta itu sudah boleh berada di jalan. Kereta Malaysia telah melalui tempoh yang cukup untuk berada di mercu industri sukan pemotoran,” katanya.

Ahmad Razlan menambah, Pengarah Teknikal, Mike Gascoyne mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam F1 kerana beliau sebelum ini memegang peranan yang sama untuk pasukan F1 Force India, Toyota, Renault dan Jordan. – Bernama

*Sumber: Kosmo!